KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg menghadiri Penutupan Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia 2023: Wilayah Sarawak di Pullman Hotel di sini, hari ini.
Ketika berucap di majlis berkenaan, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebanyak 70 peratus daripada campuran tenaga dihasilkan di Sarawak adalah daripada kuasa hidro.
“Sarawak dianggarkan mempunyai kira-kira 30 trilion meter padu kapasiti simpanan karbon di dasar laut dan kini menjalankan projek Tangkapan dan Penyimpanan Karbon Luar Pesisir (CCS) pertama di Lapangan Petronas Kasawari di Bintulu.
“Projek ini dijangka mengurangkan sehingga 3.3 juta tan karbon dioksida (CO2) setiap tahun seterusnya menyumbang kepada matlamat sifar pelepasan menjelang 2050,” katanya.
Abang Johari menjelaskan, Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) menggunakan sistem Transit Aliran Autonomi (ART) disepadukan dengan penggunaan digital juga menggunakan sel bahan api hidrogen.
“Diharapkan agar dengan sistem tersebut, pelepasan karbon daripada pengangkutan darat di bandar raya Kuching akan berkurangan sebanyak 15 peratus menjelang 2030,” katanya.
Sumber dari : Sarawakku